Ahli politik dan skandal seks berpisah tiada
- haidy81
- May 7, 2015
- 3 min read

SEKILAS PANDANG: "Hampir semua lelaki boleh bertahan apabila dilanda masalah, tetapi jika anda mahu menguji perwatakan sebenar seseorang, berikannya kuasa," kata bekas legenda Presiden Amerika Syarikat, Abraham Lincoln.
Ungkapan ini boleh digunakan sebagai alat untuk mengukur watak sesorang, terutamanya mereka yang memegang tampuk kuasa politik. Ahli-ahli politik dan skandal seks adalah seperti laut dan pantai – tidak dapat dipisahkan. Ada yang pandai merahsiakan aksi mereka di pelbagai ranjang, manakala yang lain tidak.
Apabila yang kedua berlaku, ada yang mengambil pendekatan "berani" dan mengakuinya manakala yang lain berpura-pura seperti tiada apa yang berlaku. Kecaman media tidak dapat memaksa mereka mengakui hubungan luar nikah mereka.
Salah satu skandal seks utama yang menjadi perhatian media pada tahun 1998 adalah skandal di antara Presiden Amerika Syarikat sewaktu itu, Bill Clinton dan pelatih White House Monica Lewinsky, yang terlebih dahulu cuba dinafikan Clinton, namun diakuinya kemudian.
Hillary Clinton mempertahankan suaminya sepanjang pengalaman pahit itu.
Selepas 15 tahun skandal itu berlaku, Lewinsky telah menulis mengenainya dalam majalah Vanity Fair isu bulan ini.
Dalam pendedahan ini, dia menafikan yang dia telah dibayar oleh keluarga Clinton untuk berdiam diri mengenai isu ini. Beliau berkata ini adalah langkah pertamanya dalam meneruskan kehidupannya.
Di Malaysia bekas Presiden MCA dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek telah dirakam melakukan hubungan seks dengan seorang wanita yang tidak dikenali (yang kemudian dijelaskan sebagai seorang "kawan peribadi"), melalui kamera tersembunyi yang diletakkan di dalam sebuah bilik hotel di Johor, pada tahun 2008.
Rakaman itu telah diedarkan secara meluas dan ini mendorong Soi Lek untuk mengakui pertuduhan itu. Beliau juga melepaskan semua jawatan beliau dalam kerajaan dan parti. Tindakan beliau bertanggungjawab dan mengakui tuduhan itu secara terbuka telah jelas membawa kebaikan kepadanya, kerana ahli MCA memaafkannya dan memilih beliau sebagai presiden mereka semula pada tahun 2011.
Rakaman skandal seks yang melibatkan ahli-ahli politik bukanlah perkara baru di negara kita. Pada awal 90-an, rakaman video yang menggambarkan ‘pengembaraan’ seks pemimpin MIC dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, DP Vijandran, telah muncul.
Sejumlah 11 pita video dan empat sampul surat mengandungi 2,000 gambar-gambar telah hilang daripada peti besi Vijandran, setelah rumahnya dipecah masuk. Ia akhirnya dibocorkan dan sampai ke tangan orang kuat DAP mendiang Karpal Singh, yang mendedahkannya.
Vijandran kemudiannya meletakkan jawatan dalam bidang politik dan kembali menjadi pengamal undang-undang.
Di suatu pihak lain pula ialah ahli-ahli politik yang begitu bersahaja mengenai dakwaan hubungan luar nikah atau amalan poligami mereka. Dua tahun lalu, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjadi tumpuan tajuk berita kerana didakwa membelanjakan RM1.5 juta terhadap perempuan simpanan beliau, dalam tempoh empat bulan.
Perkara ini didedahkan selepas pemandu wanita berkenaan, pelakon Zahida Rafik membuat laporan polis mengenai perkara itu. Lelaki itu berkata beliau telah menjadi orang tengah yang menyampaikan wang itu ke dalam akaun Zahida.
Tidak menghairankan, Kedua-dua Shafie dan Zahida telah menafikan dakwaan itu.
Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin, yang terkenal dengan kenyataan seksis dan tidak sensitif beliau, juga didenda RM1,000 kerana berpoligami dengan pelakon Zizie Ezette pada tahun 2010.
Apakah yang membuat wanita-wanita tertarik dengan lelaki yang sudah berkahwin? Dan mengapa kaum lelaki yang sudah berkahwin ‘terlencong’, walaupun mengetahui mereka menjadi tumpuan awam?
Adakah status dan kuasa memberikan lelaki lebih keyakinan untuk mengambil risiko? Atau adakah ianya mentaliti buat dahulu, tanggung kemudian, tidak kira apa pun akibatnya?
Skandal kuasa dan hubungan seks bukan sahaja menjejaskan ahli-ahli politik. Atlet, pelakon, ahli perniagaan, macam-macam ada. Kajian terbaru menunjukkan bahawa fenomena ini bukan hanya melibatkan jantina tertentu – yang bererti bahawa wanita dalam kedudukan yang sama juga berkemungkinan untuk memaparkan sifat-sifat yang serupa.
Ada yang mengatakan bahawa "lelaki yang baik adalah lelaki yang belum tertangkap." Mungkin ramai lagi Clinton dan Soi Lek di luar sana, hanya menunggu masa untuk ditemui atau ditangkap!
Comments